Wednesday, January 26, 2011
TEKS PERBAHASAN ADUN SRI MUDA DALAM SIDANG DUN TERGEMPAR 24JANUARI 2011
Berikut adalah ucapan YB ADUN SRI MUDA ketika membahas usul bagi mengembalikan kuasa DYMM SULTAN SELANGOR ketika Sidang DUN tergempar yang berlangsung pada 24 Januari 2011:
RANG UNDANG-UNDANG
ENAKMEN UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN SELANGOR 1959 (BAHAGIAN KEDUA) (PINDAAN) 2011
Bismillahi rahmani rahim, assalamualaikum warahmatullahi wabaraktuh.
Terima kasih Yang Berhormat Tuan Speaker kerana memberikan saya peluang bagi membahaskan rang undang-undang ini. Pada hari ini, Dewan yang mulia ini, terpaksa membuat rang undang-undang pindaan ini disebabkan kesilapan yang dilakukan oleh pemerintah di zaman Barisan Nasional; yang oleh kerana ingin mengampu pimpinan mereka di peringkat pusat, akhirnya mereka telah bertindak “mengorbankan” kuasa DYMM Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri.
Sebelum tahun 1993, Fasal (1), Perkara 52, Undang-Undang Tubuh pada asalnya telah dengan jelas memberikan kuasa kepada DYMM Sultan Selangor bagi membuat lantikan ke jawatan-jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-Undang Negeri dan Pegawai Kewangan Negeri. Fasal (1) yang asal, sebagaimana yang dinyatakan dalam rang undang-undang pindaan ini, jelas melibatkan kesemua pihak yang berkaitan, iaitu DYMM Sultan Selangor, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam. Tiada satu pun yang dikesampingkan.
Kita harus melihat kembali senario pada 1993, yang mengakibatkan pindaan ke atas Fasal (1) Perkara 52 di buat. Pada ketika itu yang menjadi persoalan ialah berkenaan kekebalan Raja-Raja dari tindakan undang-undang atas kapasiti peribadi baginda. Ianya bukan berkenaan kuasa Raja-Raja. Tetapi, oleh sebab Barisan Nasional di Selangor ingin menunjukkan taat setia yang melampau kepada pimpinan mereka di Pusat maka mereka telah bertindak lebih jauh lagi dengan meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
Akibatnya kuasa DYMM Sultan Selangor dimansuhkan dan menafikan peranan Kerajaan Negeri dalam perkara berkaitan pelantikan pegawai-pegawai utama perkhidmatan awam Negeri Selangor. Jelas di sini, mereka keliru dengan pindaan di peringkat Persekutuan yang hanya menyentuh kekebalan Raja-Raja.
Ini menyebabkan seolah-olah kita di Selangor tiada peranan dalam urusan pelantikan pegwai-pegwai kita sendiri. Ini juga jelas dinyatakan oleh Ketua Setiausaha Negara yang menyatakan pelantikan tiga pegawai ini adalah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, tanpa perlu mendapat persetujuan atau pandangan Kerajaan Negeri.
Cara pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor baru-baru ini, jelas memperlihatkan kesombongan dan kebiadapan Kerajaan Pusat dalam urusannya dengan Kerajaan Negeri. Tambah memeranjatkan terdapat segelintir dari anggota perkhidmatan awam di Negeri ini yang sanggup menjadi ‘budak suruhan’ kepada tuan-tuan politik mereka di Putrajaya, sedangkan mereka seharusnya profesional, berkecuali dan setia kepada kerajaan yang memerintah (government of the day). Watak-watak Si Kitul dan Raja Mandeliar mula terdedah dan terlihat dengan jelas.
YB Tuan Speaker,
Yang menjadi persoalan kita ialah, mengapa YAB Dato’ Menteri Besar tidak dirundingi, dimaklumi dan dihormati dalam pelantikan SUK? Apa yang jelas akibat dari tindakan dan mainan politik oleh pihak berkepentingan politik di Putrajaya, yang menerima kesannya adalah Kerajaan Negeri.
Kita terpaksa menerima seorang SUK yang kemampuannya amat diragui, bahkan dalam senarai calon SUK dari Kerajaan Negeri, tidak tersenarai pun. Dalam senarai oleh Putrajaya pula, di kedudukan terakhir. Tetapi, orang kerdil dan tidak cekap inilah yang menjadi pilihan Putrajaya. Mengapa? Sebabnya jelas, Putrajaya memerlukan seorang yang sanggup menjadi ‘ ‘budak suruhan’ mereka bagi mengkucar-kacirkan Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Pakatan Rakyat.
Memberi imbuhan kenaikan pangkat kepada mereka yang sanggup menjadi ‘budak suruhan’ bukanlah perkara baru dalam perkhidmatan awam. Contohnya, Ketua Setiausaha Negara yang sekarang ini sendiri menjadi ‘budak suruhan’. Kita tidak lupa bagaimana beliau pada ketika itu sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sanggup menjadi ‘galang ganti’ kepada tuannya iaitu Ratu AP Malaysia, Rafidah Aziz.
Skandal AP yang heboh ketika itu, hingga dikecam hebat oleh ahli-ahli parlimen dari BN sendiri, menyaksikan beliau yang menjawabnya, sedangkan Ratu AP, Rafidah Aziz, yang menjadi Menteri yang bertanggungjawab cuba mengelak dengan pergi dalam pelbagai misi dan lawatan luar Negara.
Akibat dari kesanggupan menjadi ‘pak sanggup’ dan ‘budak suruhan’ Ratu AP, Rafidah Aziz, Tan Sri Sidek Hassan ini akhirnya mendapat imbuhan kenaikan pangkat menjadi Ketua Setiausaha Negara, walaupun pada masa itu terdapat ramai lagi pegawai kanan yang layak dan lebih kompeten dari beliau. Jelas di sini, yang dicari bukanlah keupayaan dan bakat, tapi kesanggupan menjadi ‘budak suruhan’ kepada tuan politik.
Sedikit mengenai Tan Sri Sidek ini, beliau memang terkenal dengan slogan NIKE – ‘Just Do It’; atau ‘buat sahaja’. Ini pernah mendapat teguran dari Ahli Parlimen Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad, yang menegur supaya beliau tidak ‘buat sahaja’ tapi lihat sama ada perkara itu boleh dibuat atau tidak.
Perangai ‘buat sahaja’ inilah yang pada pandangan saya, telah mengakibatkan masalah yang berlaku di Selangor sekarang ini. Semangat federalisma dan semangat dalam Undang-Undang Tubuh dilanggar dan dipijak-pijak kerana si ‘pak sanggup’ kepada Ratu AP, Rafidah Aziz ini ‘buat sahaja’ pelantikan SUK tanpa adab dan sopan untuk bertanya dan mendapat pandangan Ketua Kerajaan di Selangor iaitu YAB Dato’ Menteri Besar.
YB Speaker,
Pindaan yang dibincangkan dalam Dewan yang mulia ini, saya yakin akan dapat mengembalikan semula kuasa DYMM Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri dalam pelantikan pegwai-pegawai utama di Negeri Selangor. Ianya juga akan dapat menyelamatkan kita dari terpaksa bekerja dengan ‘budak suruhan Putrajaya’ di masa-masa hadapan, tidak kira siapa pun di Putrajaya. Urusan Negeri, biarlah negeri yang mengendalikannya. Saya tidak mempunyai masalah secara peribadi dengan orang yang dicanang sebagai SUK Selangor sekarang ini. Tapi jika kita lihat keupayaan dan pencapaiannya, jauh dari memuaskan.
Kalau sebuah jabatan pun beliau tidak mampu mengurusnya dengan baik, apa sangatlah nak diharap dari orang ini untuk mentadbir perkhidmatan awam satu negeri.
YB Speaker,
Dalam kita membicarakan isu berkaitan pelantikan orang ini, terdapat juak-juak dan batu api yang cuba melaga-lagakan antara Kerajaan Negeri dengan istana. YAB Dato’ Menteri Besar dan kepimpinan Negeri, dituduh sebagai penderhaka dan digambarkan cuba hendak memperalatkan Istana. Saya sendiri difitnah demikian. Dalam apa yang kita katakan sepanjang isu ini, tiada satu pun yang kita buat menderhaka kepada DYMM Sultan Selangor. Yang berlaku ialah kita menyanggah cubaan watak-watak Pateh Karma Wijaya, Si Kitul dan Raja Mandeliar yang cuba mempergunakan istana demi mencapai agenda jahat dan dendam kesumat mereka terhadap Pakatan Rakyat di Selangor.
Kita bukanlah orang yang mengungkapkan “sekian lama kita mati dalam setia, kali ini kita hidup dalam durhaka” yang dihamburkan oleh Ibrahim Ali, Ahli Parlimen Pasir Mas. Kita bukanlah orang yang sanggup menggelar raja kita sebagai ‘binatang’ seperti di Terengganu, dan kita juga bukanlah orang yang sanggup menabalkan orang lain sebagai raja seperti yang dibuat Annuar Musa di Kelantan.
Kita juga bukanlah rakyat yang berjiwa raja seperti mantan Menteri Besar yang ingin hidup dalam ‘mahligai Bali’, atau seperti Rosmah Mansur yang mendabik dada sebagai wanita pertama Malaysia sedangkan gelaran itu selayaknya untuk Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Mungkin dah biasa berganti suami, Rosmah keliru suaminya sekarang ini hanyalah Ketua Kerajaan bukannya Ketua Negara!
Kita juga bukanlah orang yang membuat laporan yang menghasut rakyat membenci raja-raja dengan laporan-laporan palsu dan fitnah. Yang ini Utusan Malaysia begitu pakar. Lihat sahaja laporan-laporan dan ulasan mereka sepanjang 1993 ketika krisis perlembagaan yang melibatkan raja-raja. Bacalah juga hansard parlimen ketika itu, kita dapati pemimpin-pemimpin dari BN memalukan dan menghina raja-raja. Ada yang sanggup mengatakan raja-raja membazirkan duit rakyat kerana banyaknya jumlah istana mereka. Inilah golongan penderhaka sebenarnya!
YB Tuan Speaker,
Saya membandingkan peruntukan Fasal (1) Perkara 52 yang sedia ada yang menyebut pelantikan bagi 3 pegawai utama perkhidmatan awam di Negeri ini hendaklah dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan yang berkenaan. Tiada disebut DYMM Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri.
Yang anehnya, ada anggota perkhidmatan awam di Negeri ini, yang berlagak pandai dengan menyatakan perkenan DYMM Sultan Selangor masih dikehendaki kerana baginda adalah ketua eksekutif seperti dinyatakan dalam Perkara 50. Orang ini yang selayaknya di gelar Si Kitul, memutarbelit dengan menyatakan persetujuan menteri besar tidak perlu disebabkan Fasal (1), Perkara 52 tidak menyebut YAB Dato’ Menteri Besar.
Ini yang peliknya, kerana Fasal (1) Perkara 52 pun tidak sebut DYMM Sultan Selangor. Orang ini telah membaca bersama, dua Perkara yang berlainan iaitu Perkara 50 dan Perkara 52. Itulah sebabnya saya menyoal beliau, mengapa tidak baca sekali Perkara 55 yang mengkehendaki DYMM Sultan Selangor mendapat nasihat dari Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMKN) yang diketuai YAB Dato‘ Menteri Besar dalam menjalankan kuasa baginda?
Kalau dia boleh baca Perkara 50 bersekali dengan Perkara 52, apakah yang menghalang beliau untuk membaca kedua-dua Perkara tersebut dengan Perkara 55? Ini kerana dia dan tuan politiknya di Putrajaya tahu, mereka tersilap langkah dalam melantik SUK tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri yang diketuai YAB Dato‘ Menteri Besar.
Jawapan beliau untuk menegakkan pembohongan beliau ialah DYMM Sultan Selangor hanyalah menjalankan kuasa eksekutif baginda, oleh itu Perkara 55 tidak perlu. Dialah setiausaha sulit, dialah juga penasihat undang-undang dan dialah juga hakim yang membuat tafsiran. Ini sekali lagi menunjukkan kebodohan orang ini.
Perkara 55 menyebut bahawa DYMM Sultan Selangor hendaklah mendapat nasihat MMKN dalam menjalankan mana-mana fungsi baginda di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan. Maka persoalannya, bukankah menjalankan kuasa eksekutif baginda itu adalah fungsi baginda yang diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh? Jika bukan fungsi apakah namanya? Siapakah yang memberikan kuasa eksekutif kepada baginda kalau bukan Undang-Undang Tubuh?
Jelas, menjalankan kuasa eksekutif baginda juga adalah fungsi baginda di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959 maka ianya tertakluk kepada Perkara 55; nasihat MMKN atau YAB Dato’ Menteri Besar haruslah diperolehi. Oleh kerana mentaliti ‘budak suruhan’, maka puak-puak ini sengaja berkomplot membuat pelantikan SUK dengan memperalatkan istana dan tanpa melibatkan Kerajaan Negeri. Betapa biadapnya ‘budak-budak suruhan’ ini!
YB Speaker,
Oleh itu, saya berpandangan dan menegaskan, pindaan ini yang mengembalikan kuasa kepada DYMM Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri adalah jalan terbaik bagi menghindarkan dari kekeliruan dan manipulasi berlaku di masa-masa hadapan. Pindaan ini jelas meletakkan setiap pihak ditempatnya, iaitu DYMM Sultan Selangor melantik pegawai, Kerajaan Negeri sebagai penasihat kepada baginda, dan Suruhanjaya Perkhidmatan berkenaan sebagai pihak yang membuat pelantikan. Setiap pihak mempunyai peranan dan peluang untuk bersuara dan memberikan pandangan.
Bukankah di dalam Islam setiap sesuatu itu sebaiknya dijalankan secara bermusyawarah, bermesyuarat? Hanya ‘budak suruhan’ Putrajaya sahaja yang mahu bertindak sewenang-wenangnya, melanggar dan membelakangkan institusi dalam negeri ini. Golongan ‘budak suruhan’ Putrajaya inilah yang saya maksudkan “beraja di mata dan bersultan di hati”, bukannya baginda Sultan Selangor.
Kepada ‘budak-budak suruhan’ ini, saya tegaskan, sampaikan kepada tuan-tuan kamu di Putrajaya, bahawa Kerajaan Selangor ini adalah kerajaan berdaulat yang dipilih rakyat. Jangan cuba hendak memaksakan kehendak kamu ke atas Kerajaan Selangor. Dahulu Putrajaya cuba memaksakan calon Menteri Besar pilihan mereka ke atas Raja Perlis dan Pemangku Raja Terengganu; mereka adakan perarakan menghina dan memaki raja-raja di Perlis dan Terengganu. Sekarang mereka hendak berselindung di sebalik istana untuk memaksa Kerajaan Negeri Selangor menerima ‘budak suruhan’ mereka sebagai SUK di Selangor pula!
Kami dari Pakatan Rakyat tidak akan sekali-kali membenarkan Putrajaya mnemperalatkan istana demi cita-cita politik mereka! Kuasa DYMM Sultan Selangor dan Kerajaan Negeri hendaklah dikembalikan semula kepada asalnya seperti sebelum pindaan pada tahun 1993.
Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor bukanlah seperti Barisan Nasional yang mudah tunduk kepada Putrajaya! Bahkan, wujudnya Putrajaya sebagai wilayah persekutuan pun kerana kebaculan mantan MB Barisan Nasional yang tunduk kepada tuannya di Putrajaya. Ini sebagai imbuhan kepada tuannya yang menjadikan beliau MB di Selangor. Pampasan dan royalti RM8 juta setahun yang diberikan, tidak sebanding dengan nilai Putrajaya itu sendiri! Inilah yang terjadi jika ‘budak suruhan’ Putrajaya diletakkan di Negeri ini; habis tergadai kepentingan negeri semata-mata kepentingan peribadi dan politik mereka!
Oleh itu, saya menyokong penuh pindaan ini dibuat demi mengembalikan kuasa, kedaulatan dan maruah DYMM Sultan Selangor selaku raja berdaulat dan Kerajaan Negeri selaku kerajaan yang dipilih rakyat.
DAULAT TUANKU !!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment